Thursday, March 8, 2018

Mereka bukan suami isteri

'Mereka bukan suami isteri'
ABD Rashid Hussien menunjukkan laporan polis di Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee berkenaan kes pokok tumbang di hadapan KLCC. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
'Mereka bukan suami isteri'
Oleh Nur Afiradina Arshad
bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: "Anak saya dan lelaki itu belum bernikah, mereka cuma kawan."

Abd Rashid Hussien, 54, mengesahkan anaknya, Mira Ezva, 25, bukan isteri kepada Norazrul Ahmad, 37, yang terbabit dalam kejadian melanggar pokok tumbang di Jalan Ampang berhampiran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Isnin lalu.

"Saya hanya mengetahui dakwaan anak sudah bernikah selepas ramai kenalan menelefon dan bertanya mengenai perkahwinan itu seperti yang dilaporkan media.

"Mungkin anak saya terlalu terkejut dan trauma dengan kemalangan yang berlaku, maka dia mengeluarkan kenyataan dalam keadaan keliru.

"Saya ingin menjelaskan perkara ini bagi memperbetulkan keadaan," katanya ketika ditemui media selepas menemani anaknya membuat laporan di Balai Polis Trafik Tun HS Lee di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mira Ezva tidak mahu menemui wakil media.

Abd Rashid berkata, lelaki berkenaan dilapor masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala anaknya dibenarkan keluar semalam.

"Mangsa lelaki itu masih berada dalam Unit Rawatan Kecemasan (ICU) HKL kerana cedera parah manakala anak saya yang dibenarkan akan menyambung rawatan susulan di Hospital Teluk Intan.

"Anak saya masih trauma dan tidak stabil, selain berlaku pendarahan di kepala dan kecederaan di muka," katanya.

Beliau turut mengesahkan sudah berunding dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung kos rawatan dan yang berkaitan insiden pokok tumbang itu.

Dalam kejadian jam 7.43 pagi Isnin lalu, Norazrul dan Mira Ezva yang menunggang motosikal untuk ke tempat kerja, terbabit dalam kemalangan selepas melanggar sebatang pokok tumbang di Jalan Ampang.

Source : https://www.bharian.com.my/

Artikel Terkait


EmoticonEmoticon