![]() |
ADNAN Abdullah, menunjukkan gambar anaknya, Nur Aziera Adnan. - Foto Shafiq Ambak |
Remaja hilang pulang selepas berita viral
KUALA TERENGGANU: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang sejak enam hari lalu akhirnya pulang ke rumah selepas berita berhubung kehilangannya disiarkan BH Online, semalam.
Remaja terbabit, Nur Aziera Adnan, 16, yang sudah tidak lagi bersekolah dikatakan melarikan diri dari rumahnya di Kampung Wakaf Mempelam, di sini, dengan bantuan dua rakan pada 28 Februari lalu selepas dikatakan 'terasa hati' dengan keluarganya.
Bapa remaja terbabit, Adnan Abdullah, 39, berkata anaknya itu dihantar keluarga rakannya kira-kira jam 11 malam selepas berita mengenai kehilangannya dilaporkan BH Online.
Katanya, anaknya itu mengakui melarikan diri kerana 'terasa hati' terhadap ahli keluarga, namun tidak mendedahkan punca kejadian itu berlaku.
"Alhamdulillah, Nur Aziera sudah pulang malam semalam selepas berita mengenai kehilangannya viral.
"Keadaan dia baik tanpa sebarang kecederaan dan kami sekeluarga amat berterima kasih kepada semua pihak termasuk media kerana membantu.
"Menurut Aziera, dia menyembunyikan diri selama dua malam di masjid berhampiran sebelum rakannya datang membawanya ke rumah di kawasan Batu Rakit, Kuala Nerus.
"Mulanya dia enggan pulang, namun selepas berita mengenainya tersebar keluarga rakannya itu menghantarnya ke rumah kami," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.
Semalam, BH Online melaporkan anak sulung daripada tiga beradik itu dikatakan melarikan diri selepas ditinggalkan bersendirian di rumah ketika ibunya, Tengku Suhaya Tengku Embong, 35, keluar mengambil seorang lagi anak yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Wakaf Mempelam kira-kira jam 1 tengah hari.
Remaja perempuan itu dikatakan keluar rumah tanpa membawa sebarang pakaian, malah beg tangannya yang berisi kad pengenalan turut ditinggalkan di rumah.
Source : https://www.bharian.com.my/
EmoticonEmoticon